17 Ogos 2011

31. RAHSIA ZIKIR DAN KAITANNYA DENGAN SAINS


Sempena bulan puasa yang mulia ini, Pok Nik ingin berkongsi perbincangan Pok Nik dengan seorang saintis Melayu Islam (dinamakan "hamba Allah")

Apa yang menarik dalam perbincangan berkenaan ialah beliau memadankan antara pemikiran ulama Nusantara dan cetusan daripadanya yang melahirkan inovasi, sains dan teknologi serta beliau sangat suka berbincang dengan Pok Nik kerana input-input kerohanian dan sains.

Penafian

Pok Nik ingin mengingatkan bahawa tidak sekali-kali tujuan artikel ini untuk menyamakan taraf hadits dengan qadim - umpamanya sains menerangkan mukjizat dan karomah. Sebenarnya mukjizat dan karomah itulah yang melahirkan ilham (secara laduni) kepada alam hadits untuk mengaplikasikannya semasa hidup di dunia ini.

I'tiqad kita perlu dijaga bahawa mukjizat dan karomah bukan sains, ianya adalah perkara yang mencarik adat bagi menyelesaikan masalah dan mematikan hujjah serta menebalkan lagi iman.

Pok NIk juga berharap jika ada mana-mana ahli forum ingin memuaturun (download) artikel ini, harap dirahsiakan terlebih dahulu, janganlah di 'share' kan pada FB anda takut-takut menimbulkan fitnah.

BISMILLAAHIRRAHMAANIRRAHIM.

Berikut adalah hasil daripada perbincangan berkenaan.

Sesetengah pengikut dan murid kepada guru yang diizinkan Allah SWT melihat perkara mencarik adat ini, telah terilham untuk membuat satu inovasi hasil dari pemerhatiannya sendiri. Ini kerana perkara yang mencarik adat itu adalah bersifat Rahmatul 'Alamin atas asbab penzahirnya.

Ianya bersifat pengajaran, dakwah dan perjalanan di dunia itu sendiri. Ianya juga bersifat keberkatan kepada alam sekitarnya (seperti menurunkan hujan dsb).

Firman Allah yang bermaksud: “Ingatlah, dengan mengingati Allah jiwa kamu akan tenang.”

Walau dengan cara apapun kita berzikir samada dengan sebutan kalimat Allah SWT secara berulang-ulang (atau tasbih, tahmid dsb) atau membaca ayat-ayat suci Al-Qur'an, rabitah, tawassul, fana, mahupun sebutan berulang-ulang, berdoa dsb. seseorang ulama dikira sampai ke matlamat yang disebutkan dalam ayat di atas apabila dia mengingati Allah SWT SEHINGGA jiwanya tenang. Jika dia tidak tenang dia tidak akan dapat kembali seperti Firman Allah SWT :

"Wahai Jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan redha dan diredhai, maka masuklah kedalam (golongan) hambaKu, dan masuklah ke dalam (Syurga) JannahKu"

Juga ulama apabila ditimpa dugaan atau musibah, beliau akan terus mengingati Allah SWT sebagaimana firmanNya :

“ Orang-orang yang sabar itu apabila mereka ditimpa musibah mereka akan berkata : Innaa lillaahi wa-inna ilaihi roojiuun “ ~ Surah al-Baqarah , ayat 155

Juga disaran "kembali kepada Allah" kerana bila "kembali", jiwa akan "tenang-tenteram" dan semoga kita masuk dalam golongan hambaNya (yang redha dan diredhai walaupun berapa banyak musibah dan dugaan datang sekalipun)

Kembali kepada perbincangan kita.

Firman Allah SWT :

"Maha Suci Allah yang telah menciptakan PASANG-PASANGAN, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui." (QS Yasin: 36)

FirmanNya lagi :

"Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu MENGINGAT akan kebesaran Allah." (QS Adz-Dzaariyat: 49)

(Lihat pertalian Pasangan dengan Zikir)

Telah terdapat laporan, dalam Qisasul Aulia, kisah hamba yang sentiasa suka berpuasa dan memenuhi puasa itu dengan berzikir sehingga mencapai ke peringkat fana dan apabila tuan kepada hamba itu balik ke rumahnya, dia melihat zahirnya satu cahaya yang tidak diketahui puncanya. Apabila tuan itu rapat ke bilik hamba berkenaan, cahaya itu tiba-tiba hilang.

Dari segi teori temporal dan fizik kuantum, apabila seseorang ulama berzikir, maka semua nisbah jisim dan antijisim (persekitaran alam dan dalam diri) akan bertemu (kata kunci, Pasangan jisim dan antijisim) kerana barokah dari zikir seorang ulama itu apatah lagi apabila dia bertaraf waliyullah.

Apabila pertembungan unsur ghaib dan nyata (adat bertemu mencarik adat) maka ianya akan melahirkan satu bentuk cahaya (atau cahaya bertemu cahaya menzahirkan cahaya di atas cahaya) (kata kunci : Pasangan unsur ghaib dan nyata dan cahaya bertemu cahaya)

Maksud ayat: Surah an Nur ayat 35 – 37.

“Allah (memberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti lubang yang tidak tembus yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca dan kaca itu seakan-akan (bintang yang bercahaya) seperti mutiara yang menyalakan minyak dari pohon yang banyak berkahnya, iaitu pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah baratnya yang minyaknya sahaja menerangi walaupun tidak disentuh api.

Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis) - ALLAH MEMBIMBING KEPADA CAHAYANYA (untuk) SESIAPA YANG DIA KEHENDAKI dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimulakan dan disebut namanya di dalamnya, pada waktu pagi dan pada waktu petang.

Dari satu segi, di sini jelas, "sesiapa yang Dia kehendaki" tentunya dua dari golongan itu adalah Sidiqqin dan Solihin (termasuk ulama) yang sentiasa mengingatinya semasa baring, bangun, berjalan dll.

Perkara mencarik adat ini sudah banyak kali dilaporkan oleh murid-murid kepada Tuan Guru Haji Kenali dan juga Syeikh Wan Ahmad Fathani yang melihat guru mereka seolah-olah mengeluarkan cahaya pada persekitaran.

Malah di zaman Rasulullah S.A.W. sendiri, ramai pengikut dan para sahabat mereka seakan-akan terlihat cahaya di wajah dan tubuh badan baginda S.A.W. kerana ingatan baginda yang tidak putus-putus kepada Allah SWT dalam perbuatan apa sekalipun.

Bagi mereka yang mempelajari kisah asal-usul manusia, maka kita sudah pasti mengetahui rahsia Nur Muhammad samada dalam konteks kejadian dan tajalli atau semasa peristiwa Israk Mikraj.

Kadang-kadang dilihat petir, guruh dan hujan akan berlaku samada rintik-rintik atau lebat sebagai tanda keberkatan dari langit yang dibawa oleh para malaikat kepada orang-orang yang berzikir itu. Ini kerana kelebihan yang ada pada wali-wali Allah ialah "doanya menurunkan hujan" (gelaran yang sama diberikan pada Sultan Aulia Syeikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani dan juga Imam Al-Mahdi)

Rasulullah s.a.w. juga menjelaskan bahawa para malaikat akan memayungi orang-orang yang mengingati Allah, melimpahkan mereka dengan rahmat serta beroleh rasa ketenangan. Sabda baginda yang bermaksud: Tidaklah berhimpun suatu kaum kerana mengingati Allah, melainkan mereka akan dinaungi oleh para malaikat, dilimpahkan dengan rahmat serta diturunkan ke atas mereka ketenangan dan Allah menyebut mereka (meningkatkan darjat) di kalangan orang yang berada di sisi-Nya. (Riwayat Muslim).

Selaras dengan Firman Allah SWT : Ingatilah Aku dan Aku akan mengingatimu.

Dilihat kejadian hujan ini pula ialah kerana pasangan bertemu pasangan (cas negatif pada awan kumulunimbus bertemu dengan pasangannya cas positif di muka bumi menyebabkan laluan ion mencari titik rintangan bumi yang paling rendah bagi mengalirkan cas negatif ke bumi dan menzahirkan satu bentuk tenaga nyahcas elektrik iaitu kilat dan akibatnya lahirlah hujan)

(kata kunci : pasangan cas negatif dan positif)

Dalam tubuh apabila dikaji, seorang ulama yang berada dalam keadaan tenang dan tenteram kerana zikir yang disebut - lidah, hati, anggota dalam apa juga bentuk sebutan sekalipun, maka akan berlaku reaksi asid amino menerusi pasangan tryptophan dan tyrosine.

Semasa peringkat tenang, trytophan menyeberangi halangan darah ke otak mengikut laluan yang sama dan akan melahirkan perasaan tenteram dalam diri. Ketika ini juga, neuron akan membentuk norepinephrine. Dan seseorang ulama itu akan merasakan perasaan seolah-olah "suspended" (fana), sejuk tubuh badan - seperti mayat (kerana pertembungan pasangan alam hadis dengan alam yang tiada masa dan dimensi - contohnya barzakh) Rasa seram sejuk ini; dalam konteks biologi, ialah kerana penurunan suhu badan dan kekurangan kadar asas metabolisma badan bagi menyimpan lebih tenaga (semasa berpuasa atau suasana "suspended" ini)

Apabila dia habis waktu zikirnya dan berbuka puasa, dia biasanya akan berbuka puasa dengan kurma yang mengandungi banyak protin dan serat. (begitu juga dengan nasi yang mengandungi kabohidrat) Maka dengan sendirinya tyrosine (dengan neurotransmitter dopamine untuk aktiviti) pula akan menggantikan trytophan tadi dan memberikan ulama itu tenaga untuk dia melakukan kerja-kerja lain (bahagian di dunianya) atau bertazkirah atau kembali berzikir. Ini samalah dengan Sunnah Baginda S.A.W. yang berbuka puasa dengan kurma (berprotin dan berserat) dan kadangkala daging (yang memberikan tenaga)

Kata kunci (pasangan trytophan dan tyrosine, pasangan neurotransmitter norepinephrine dan dopamine)

Sambungan dari Surah Nur ayat 38 berbunyi :

"Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula oleh jual beli dari mengingati Allah dan dari mendirikan solat dan dari membayar zakat. Mereka takut pada suatu hari (yang di hari itu) Hati dan penglihatan menjadi goncang. Mereka yang mengerjakan demikian itu supaya Allah memberikan balasan kepada mereka (dengan balasan) yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan, dan supaya Allah menambahkan kurnianya kepada mereka. Dan Allah memberi rezeki pada siapa yang dikehendakinya.”

Maka di sini juga jelas, selepas zikir, maka seseorang itu akan mengerjakan solat dan membayar zakat (aktiviti fizikal) dan ditambahnya pula Rezeki.

Dari kajian metabolisma pula, semasa berpuasa (sunat atau wajib) dan berzikir, penggunaan tenaga akan ditumpukan kepada sistem imun, penyembuhan dan metabolisma badan. Asid amino juga membantu pembentuk protein lebih efisien bagi menghasilkan sel-sel serta tisu yang lebih sihat (termasuk proses penyembuhan tisu yang rosak hasil protein sintesis dan antibodi badan yang lebih teratur)

Sebenarnya tenaga yang tersimpan ini juga datangnya dari sumber zikir semasa berpuasa inilah yang dipanggil tenaga rohani atau tenaga dari cahaya.

Itulah sebabnya ulama kelihatan seperti berseri (awet muda) ditambah pula dengan cahaya di wajahnya hasil zikirnya walaupun ulama itu telah berusia (perembesan hormon - anti penuaan dibantu pula dengan penyeberangan tryptophan). Selepas dia berbuka puasa samada dengan nasi atau kurma mahupun daging, maka metabolisma akan berlaku kembali dengan menzahirkan reaksi pasangan anabolisma (tenaga) dan katabolisma (pemecahan makanan dalam respirasi sel) dalam bentuk tenaga membentuk komponen sel spt. protein dan asid nukleik.

(Kata kunci (metabolisma - anabolisma dan katabolisma, tenaga - protein dan asid nukleik)

Tenaga zahir dari makanan ini akan memudahkan pula solat terawih (atau solat-solat lain) dll. termasuk menguatkan sistem kardiovaskular kerana solat terawih digelar solat sambil berehat serta merupakan satu riadah yang luarbiasa.

Kembali kepada Firman Allah SWT :

"Maha Suci Allah yang telah menciptakan pasang-pasangan, baik dari APA YANG DITUMBUHKAN OLEH BUMI dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui." (QS Yasin: 36)

Ada laporan juga yang menyatakan seseorang ulama itu ditimpa penyakit sebagai sebahagian dari ujian ke atas kesabaran mereka. Maka mereka akan bersolat hajat dan berzikir memohon Allah SWT menyembuhkan penyakit yang dideritai menerusi ilham laduni untuk mencari sejenis tumbuhan/herba termasuk cara penggunaan/aplikasinya.

Banyak kes yang didapati, golongan ulama ini akan bertemu dengan penawar dalam bentuk asbabnya iaitu herba dan pohon - selain ayat-ayat dan doa-doa penyembuh (Kata kunci Penawar dan Penyakit) seperti tongkat ali, rempah gunung, akar sarsi, habbatus shawda, sambung nyawa, mahkota dewa dll.

Maka lahirlah kitab-kitab Thibb yang masyhur oleh ulama-ulama Nusantara. Akhirnya kerana sifat Rahmatul 'Aalamin yang zahir pada ulama berkenaan, bukan sahaja penyakitnya sembuh tetapi kitab-kitab Thibb ini dijadikan asas perubatan alternatif -tradisional, homeopathy dan konvensional pula. Industri perubatan pula telah melahirkan peluang kerja dan peluang perniagaan. (berangkai-rangkai kebajikannya walaupun ulama berkenaan telah meninggal dunia namun kesannya masih ada di dunia ini dan menjadi kebajikan pula padanya (Ilmu yang dimanfaatkan)

Jika dilihat kembali pertembungan pasangan pelbagai ini, fahamlah kita bawa kalimat tauhid iaitu Laa ilaa ha illAllah MuhammadarRasuulullah (atau kalimah syahadah) itu dipisahkan dengan huruf "HU" di tengah-tengahnya dan fahamlah juga kita kenapa zikir "HU" atau "Allah HU" atau "HU-Allah sentiasa digunakan untuk "zikir nafas" turun dan naik oleh para ulama yang ahli dalam babnya. Dan "HU" itu sendiri adalah asma Allah.

Nafas itu sendiri merupakah pemisah antara jasad dan ruh dan jika terpisah antara jasad dan ruh maka kita akan kembali ke alam barzakh.

Diharapkan dengan tertulisnya artikel ringkas ini, kita sama-sama mula dapat menerima hakikat kesyumulan dan kesempurnaan Islam yang tidak tertakluk kepada aqidah, syariah dan akhlak semata-mata, malah sains dan teknologi samada fizik, biologi, kimia dan pecahan-pecahannya. Kita perlu mengembalikan kesemua ilmu ini kepada Allah SWT dan bertasbih padaNya kerana nikmat yang diberikan di dunia ini (walaupun sementara) sangatlah banyak sekali dan tidak terbilang - apatah lagi nikmat di akhirat nanti.

WASSALAM, WALLAHUALAM

1 ulasan:

Motorzoom - Toyota berkata...

Allah. Cantiknya penerangan.

Tuan Syeikh, dari mana tuan syeikh dapat penerangan ini?

Seingat-ingat saya, inilah kali pertama melihat penerangan yang begitu baik sekali. Jelas walau ringkas.

Siapa Pok Nik?

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails