04 Jun 2010

24. KEJADIAN JIN

Kejadian Jin
Oleh:
Tuan Guru Syeikh Ahmad Junaidin, Guru Ijazah Pusat Pertubuhan Gerak Seni Silat Abjad (asli) Jabat Kilat Malaysia merangkap YDP Agong Persatuan Warga Melayu Malaysia

Perkataan jin
• Dari segi bahasa ialah suatu yang tersorok atau tersembunyi atau terlindung.
• Dari segi istilah(maksud sebenar) ialah sejenis makhluk yang tersorok atau tersembunyi di antara malaikat dan manusia, tidak ghaib betul seperti malaikat (tidak murni) tidak latiff tetapi boleh menyerupai dirinya sebagai murni dan tidak betul-betul ada roh serta berjisim seperti manusia, tetapi boleh menyerupai dirinya sebagai manusia ada roh dan berjisim, sebagai suatu tipu daya sahaja. Tidak diizin oleh Allah menyerupai rupa Nabi Muhammad s.a.w, dan tidak boleh mengaku dirinya sebagai Nabi Muhammad s.a.w. Untuk memudahkan faham dan sampai pemikiran orang awam, jin itu ialah laser yang tidak murni, kerana asal kejadiannya itu api Maarij dan angin Samuun yang suhu panasnya tidak boleh dinilai atau disukat dengan suhu panas dunia.

Mafhum dari ayat Al- Quran;
a. Maksud ayat 26-27 Surah Al-Hijr :
Mafhumnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari tanah liat kering kontang yang berasal dari lumpur hitam yang diberi bentuk dan Kami telah ciptakan jin sebelum itu sebelum (diciptakan manusia) dari api yang sangat panas”

b. Maksud ayat 15 Surah Ar-Rahman :
Mafhumnya: “Dia menciptakan Jan (Jin) dari nyala api (pucuk api yang bernyala-nyala)

c. Maksud ayat 12 Surah Al-‘Araf :
Mafhumnya: “Engkau ciptakan aku (kata Iblis) dari api sedangkan Engkau ciptakan dia (Adam) dari tanah.

Dari Mafhum Hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim r.a.
maksudnya: “Malaikat diciptakan dari cahaya. Jan diciptakan dari lidah api sedangkan Adam diciptakan dari suatu yang telah disebutkan kepada kamu (tanah).”

Keterangan “Al-Maarij”
a. “Maarij” ertinya nyalaan api yang sangat kuat dan sangat panas suhunya atau “Al-Lahab” ertinya jilatan api yang sudah bercampur antara satu sama lain iaitu merah, hitam, kuning dan biru.
(Sesetengah ulama mengatakan “Al-Maarij itu ialah api yang sangat terang yang memiliki suhu panas yang sangat tinggi sehingga bercampur antara merah, hitam, kuning dan biru.”)

b. Al-Maarij – api yang bercampur warna.
c. Al-Maarij sama maknanya dengan “As-Samuun” iaitu api yang tidak berasap yang sangat tinggi suhu panasnya. Sementara As-Samuun ialah angin yang paling tinggi suhu panasnya. Angin samuun yang telah sebati dengan Al-Maarij itulah Allah jadikan Jan.

d. Hadis riwayat daripada Ibnu Mas’ud bermaksud :
“Angin Samuun ini hanyalah sebahagian daripada tujuh puluh bahagian dari angin yang sangat panas yang daripadanya Allah menjadikan Jan.”

Maka dari api inilah Allah Maha Perkasa lagi Maha Berkehendak dan Maha Berkuasa menciptakan kejadian Jin, iaitu dari sel atau atom atau nukleas-nukleas api. Kemudian Allah masukkan roh atau nyawa padanya jadilah dia hidup seperti yang dikehendaki pula oleh Allah dan dari situ diberi izin oleh Allah menzahirkan berbagai-bagai bentuk dan rupa yang disukainya dan dikehendakinya kecuali rupa Rasulullah s.a.w. mengikut tahap dan kemampuan masing-masing; dan diarah menerima syariat agama Islam sepertimana diarahkan manusia menerimanya. Bentuk rupa asalnya selepas dicipta dan ditiupkan rohnya itu hanyalah Allah dan Rasul-Nya sahaja yang mengetahuinya. Mengikut kata setengah ulama rupa, tabiat, kelakuan, perangai jin 80% ke 90% mirip kepada manusia. 10% ke 20% mirip kepada malaikat.

NABI saw mengatakan, ‘Jin terbahagi kepada tiga kelompok. Sepertiganya mempunyai sayap yang boleh membuatkan mereka terbang di udara. Sepertiga lainnya berbentuk ular dan anjing dan sepertiga lainnya boleh beralih dari satu kelompok ke kelompok lainnya.

CATATAN : Ditakhrij (dikeluarkan) oleh Al-Baihaqi dengan sanad sahih. Adapun redaksinya berbunyi sebagai berikut (terjemahannya) :

“Dari Jabir Nafir, dari Abi Tsa’labah Al-Khuntsa ra, bahawasanya Rasulullah saw bersabda, (maksudnya) ‘Jin terbahagi dalam tiga kelompok’.
“Kelompok pertama adalah jin yang mempunyai sayap dan dapat terbang di udara. Kelompok yang kedua terdiri dari jin yang berbentuk ular dan anjing, sedangkan kelompok ketiga adalah yang boleh berubah bentuk dirinya.”

Dalam Al-Mustadrak, Al-Hakim meriwayatkan hadis yang senada dengan hadis yang diriwayatkan Al-Baihaqi. Tentang hadis ini, Al-Hakim mengatakan bahawa hadis tersebut sahih sanadnya, ditakhrijkan oleh Al-Bukhari dan Muslim dalam sahihnya.

Menurut Adz-Dzahabi, hadis ini sahih. Hadis yang mirip dengan ia diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas dalam tafsirnya, yang bermaksud : “Jin terbahagi tiga kelompok. Kelompok pertama yang ada di udara. Kelompok kedua adalah jin yang boleh naik-turun kehendak hati mereka, sedangkan kelompok ketiga adalah jin yang berbentuk ular dan anjing.”

Setiap kelompok dari ketiga kelompok ini membantu kelompok atau himpunan yang lain. Katakan saja misalnya, jin-jin yang terdiri dari anjing-anjing tadi secara keseluruhannya ia merupakan himpunan dari salah satu jenis jin.

Subhanallah! Diriwayatkan dari Imam Ibn ‘Abbas ra, hadis yang mendukung pendapat ini Ibn ‘Abbas mengatakan, “Anjing itu termasuk golongan jin. Ia merupakan salinan jin. Kalau dia mengendus-endus dekat makananmu, maka lemparkanlah makananmu ke arahnya, sebab dia mempunyai selera terhadapnya.” Lihat Ibn Manzhur, Lisan Al-Arab.]

Akan tetapi, yang berwarna hitam legam dengan dua bulatan putih di atas matanya, adalah jin sangat jahat yang boleh dibunuh. Kalau engkau melihat anjing seperti itu, jangan kau biarkan. Bunuh saja.”

Diriwayatkan dari Ibn Az-Zubair, dari Jabir bin Abdullah, katanya “Rasulullah saw memerintah kami untuk membunuh anjing sehingga ada seorang wanita yang datang dari dusun dengan membawa anjingnya yang kemudian kami bunuh. Kemudian Nabi saw melarang kami membunuh anjing, seraya mengatakan, ‘Bunuhlah yang hitam legam dengan dua titik putih (di atas matanya), sebab dia adalah syaitan.”

Hadis ini ditakhrijkan oleh Muslim dalam shahihnya. Hadis ini merupakan dalil bagi perintah membunuh anjing secara umum. Kemudian perintah ini dihapus (mansuh) dan dikhususkan pada anjing hitam legam, kerana ia adalah syaitan.

Dalam Syarahnya terhadap hadis ini, Imam An-Nawawi mengatakan, “Makna Al-Bahim (yang terdapat dalam hadis tersebut) adalah hitam legam. Sedangkan dua titik, adalah titik putih yang berada di atas kedua matanya, dan itu mudah diketahui. Lihat Shahih Muslim Syarh An-Nawawi, kitab Al-Musaqah Wa Al-Muzara’ah.’

Dalam Shahih Muslim, Bab Qadr Ma Yasturu Al-Mushalliy, diriwayatkan sebuah hadis dari Abdullah Ibn Ash-Shamit, dari Abu Dzar, bahawasanya Rasulullah saw berkata, “Bila salah seorang di antara kalian berdiri untuk solat, maka hendaknya dia membuat penghalang yang merupakan tanda bagi orang yang lalu.

Sebab, kalau dia tidak membuat tanda seperti itu, maka solatnya pasti akan diputuskan (diganggu) oleh keldai, kaum wanita dan anjing hitam.” Saya bertanya Abu Dzar, “Bagaimana halnya dengan anjing hitam dibandingkan dengan anjing merah atau coklat?” Abu Dzar menjawab, “Wahai anak saudaraku, aku pernah bertanya kepada Rasulullah seperti pertanyaanmu dan beliau menjawab, “Anjing hitam adalah syaitan’.”]

“Apakah anjing-anjing hitam tersebut awalnya memang merupakan bentuk asli syaitan yang diberikan Allah atau apakah ia mengambil bentuk seperti itu?”

“Boleh jadi memang Allah telah memberinya bentuk seperti itu. Hanya Allah Yang Maha Tahu. Akan tetapi jenis ini tidak boleh mengubah diri dalam bentuk yang lain. Mereka merupakan salah satu umat syaitan yang terkutuk yang tak terbilang banyaknya. Kerana Rasulullah saw memperbolehkan kita membunuhnya, maka bunuhlah ia.”

“Bagus. Itu tentang anjing. Kalau ular?”

“Terdapat banyak ular yang sesungguhnya adalah jin, dan banyak pula yang merupakan ular penjelmaan jin. Akan tetapi ada dua jenis ular dari kelompok ini yang sama sekali tidak boleh mengubah bentuk dirinya dalam bentuk lain. Kerana itu jangan engkau ragu-ragu membunuhnya. Kalau ia menyingkir, biarkan. Kalau tidak, maka sebutlah nama Allah dan mintalah perlindungan-Nya. Sesudah itu, bunuhlah ia.”

“Apa dua jenis ular tersebut?”
“Rasulullah saw telah menyampaikan kepada kita tentang keduanya. Yang pertama Al-Abtar dan yang kedua Dzu Ath-Thifyatayn’.

Al-Bukhari meriwayatkan dari Ibn ‘Umar ra, bahawasanya beliau mendengar Rasulullah saw berkhutbah di mimbar. Rasulullah saw berkata, “Bunuhlah ular, bunuhlah Dzu Ath-Thifyatayn dan Al-Abtar, sebab kedua binatang itu menyembur mata dan menggugurkan kandungan.”

Di dalam Shahih Al-Bukhari juga diriwayatkan bahawa Nabi saw memerintahkan para sahabat membunuh ular dan sesudah itu melarang membunuh ular yang menghuni rumah, sebab mereka adalah jin-jin yang menetap di rumah-rumah itu.

Dalam Fat-h Al-Bari Ibn Hajar mengatakan, “Adapun perkataan Nabi yang berbunyi : ‘Bunuhlah Dzu Ath-Thifyatayn, “Adalah ular yang mempunyai dua garis putih di belakangnya.” Ibn Abd Al-Barr mengatakan, “Disebut-sebut bahawa, Dzu Ath-Thifyatayn adalah sejenis ular yang mempunyai dua garis putih di belakangnya, sedangkan Al-Abtar adalah ular buntung (tidak berekor).”

Asal datok Jin bernama “Jan”, beriman dengan Allah melahirkan keturunan yang beriman. Selepas itu menjadi kufur dan kekal dalam kufur melahirkan pula keturunan-keturunan yang kufur. Anak cucunya yang asal beriman itu ada yang kekal dalam beriman dan ada pula yang jadi kufur dan ada pula yang kembali beriman. Ada yang baik, ada yang jahat, ada yang soleh, ada yang tidak soleh, ada yang ‘alim lagi mukmin, ada yang kufur, ada yang murtad, munafik, fasiq dan zalim, ada yang masuk syurga dan ada yang masuk neraka.

Keadaan Jin/Rupa Jin

a. Ruang yang kecil boleh dipenuhi oleh berjuta-juta Jin.
b. Jin yang kekal dalam kafir dan jin Islam yang fasik – rupanya huduh-huduh iaitu rupa yang menakutkan dan mengerikan.
c. Jin Islam yang soleh rupanya elok-elok.
d. Bentuk-bentuk tubuh mereka itu ada yang pendek, ada yang terlalu tinggi, ada bermacam-macam warna putih, merah, biru, hitam dan sebagainya.
e. Jin Islam yang paling tinggi imannya paling tinggi solehnya dan paling baik amalannya dan paling luas ilmunya masih ada pada dirinya sifat-sifat mazmumah seperti takabbur, riak, ‘ujub dan sebagainya mudah menerima teguran dan pengajaran.
f. Manakala manusia yang paling jahat ialah manusia yang bersifat dengan kesemua sifat-sifat mazmumah seperti sombong, riak, takabbur, ‘ujub dan sebagainya. Mungkin inilah yang lazim dikatakan : “Sebaik-baik Jin itu ialah sejahat-jahat manusia yang fasik”

Tetapi manusia yang paling jahat payah atau susah menerima pangajaran dan teguran kepada baik.
Jin sepertimana juga manusia berhajat kepada keturunan dan puak-puaknya terlalu banyak dan tuturan kata berbagai-bagai loghat atau bahasa.

a. Ada ulama membahagikan jin-jin ini kepada puak-puak yang menunggu kubur, puak-puak yang menunggu gua, puak-puak yang menunggu mayat manusia, puak-puak yang menunggu hutan rimba, puak-puak yang menunggu bukit bukau, puak-puak yang menunggu air mata air, tasik, kolam, teluk, kuala, pulau dan sebagainya.

b. Jenis-jenis Jin :
1. Iblis : (Bapa) Pujaan kepada semua jenis jin,iblis dan syaitan
2. Asy-Syaitan : Syaitan-syaitan
3. Al-Maraddah : Peragu-peragu (pewas-was)
4. Al-‘Afaariit : Penipu-penipu
5. Al-A’waan : Pelayan-pelayan
6. Al-Ghawwaasuun : Penyelam-penyelam
7. Al-Tayyaaruun : Penerbang-penerbang
8. At-Tawaabi’ : Pengikut-pengikut (Pengekor)
9. Al-Quranaa’ : Pengawan-pengawan
10. Al-‘Ummaar : Pemakmur-pemakmur


c. 7 Raja Jin (Alam) Bawah Yang Kafir
1. Mazhab
2. Marrah
3. Ahmar
4. Burkhan
5. Syamhurash
6. Zubai’ah
7. Maimon

d. 7 Raja Jin (Alam) Atas Yang Islam
1. Ruqiyaail
2. Jibriyaail
3. Samsamaail
4. Mikiyaail
5. Sarfiyaail
6. ‘Ainyaail
7. Kasfiyaail

e. Raja Jin yang menguasai kesemua jin-jin tersebut bernama THOTHAMGHI YAM YAAL.

f. Majoriti puah-puak jin terdiri dari gulungan kafir. Islam hanya gulungan minoriti sepertimana manusia dibumi. 80-90% jin menyerupai manusia.


g. Anak-anak Iblis yang mempunyai kerajaan yang besar adalah seramai lima orang :

1. Thubar - Merasuk manusia yang ditimpa musibah dan bala.
2. Daasim - Merasuk manusia untuk menceraikan ikatan silatul-rahim, rumahtangga, keluarga, sahabat-handai, jemaah dll.
3. Al-‘Awar - Merasuk manusia untuk meruntuhkan akhlak, berzina, minum arak, liwat, berjudi juga gejala sosial.
4. Mabsuut - Merasuk manusia dengan mengadu-domba, fitnah, dengki - khianat, sum’ah dll.
5. Zalanbuur - Merasuk manusia dengan api pertengkaran permusuhan
6. pembunuhan.


h. 4 raja Jin Ifrit yang mempunyai kerajaan yang besar yang menjadi menteri
kepada Nabi Allah Sulaiman a.s. (Jin yang paling jahat)

1. Thamrith
2. Munaliq
3. Hadlabaajin
4. Shughal

i. Sementara malaikat yang mengawal kesemua jin-jin di atas bernama Maithotorun yang bergelar QUTBUL JALALAH



Perbezaan di antara perkataaan Jin, Ifrit Dan Syaitan

a. Perkataan jin ditujukan kepada segala makhluk halus yang tersembunyi di antara malaikat dan manusia dan ianya tidak kelihatan oleh manusia. Pengetahuan mereka lebih luas dan panjang umurnya.

b. Perkataan Ifrit pula ditujukan kepada satu gulungan jin yang sangat kuat dan bijak menipu dan sangat busuk hati terhadap manusia. Gulungan ini tersangat sombong lagi amat durhaka.

c. Perkataan syaitan ialah ditujukan kepada satu gulungan jin yang sangat sombong lagi durhaka, pengacau dan menjadi musuh utama manusia dan mendapat kutukan Allah hingga kiamat.

d. Perkataan Iblis ialah ditujukan kepada satu jin yang sangat kuat taatnya dalam beribadah kepada Allah sehingga ia di angkat oleh Allah menjadi ketua atau qutub kepada seluruh malaikat dan jin, kemudian ia dilaknat oleh Allah menjadi makhluk yang agung kufurnya kepada Allah, oleh sebab angkuh dan takbur dirinya di atas asal usul kejadiannya terhadap kejadian Adam a.s yang dilantik menjadi khalifah Allah yang terakhir di alam ini.

e. Firman Allah bermaksud :

“Iblis menjawab : Sebab Engkau telah menghukum saya dengan tersesat, saya akan menghalang halangi mereka dari jalan-Mu Yang Lurus. Kemudian saya akan mendatangi mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka. Engkau tak akan mendapati kebanyakan dari mereka bersyukur (taat).”

Bermula dari saat itulah syaitan melancarkan gerakan permusuhan dengan manusia sehingga kiamat. Allah menjelaskan 3 jenis permusuhan syaitan dengan manusia :

i. Kejahatan (As-Suu’) : Iaitu berkenaan dengan dosa-dosa (maksiat) hati dan segala anggota badan.
ii. Kekejian (Al-Fahsyaa’) : Iaitu kejahatan yang lebih buruk atau jahat lagi, kekejian ini adalah sebahagian kedurhakaan (maksiat) kepada Allah.
iii. Berbohong terhadap Allah.

* Kecepatan bergerak Jin melebihi cepat gerak cahaya dalam satu saat.
* Umur jin tersangat panjang dan ada yang beribu tahun lama hidupnya.

* Jumlah banyaknya jin iaitu seluruh manusia daripada Adam sehingga kiamat x haiwan-haiwan x batu-batu x pasir-pasir dalam bumi dan tumbuh-tumbuhan ini hanya 1/10 jumlah keseluruhan Jin.

Manakala jumlah keseluruhan jin ialah 1/10 jumlah keseluruhan malaikat. Jumlah keseluruhan malaikat hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang maha mengetahui.


* Alam kediaman Jin ialah lautan, daratan, udara dan “Alam Mithal” suatu alam yang antara alam manusia dan alam malaikat. Jika ditakdir diberi oleh Allah s.w.t. kepada kita melihatnya jika jarum yang jatuh dari atas tidak jatuh di atas bumi hanya jatuh di atas belakang-belakang mereka.

* Imam Bukhari meriwayatkan sebuah hadis Nabi s.a.w. bermaksud :

“Apabila kamu menghadapi malam atau kamu telah berada di sebahagian malam maka tahanlah anak-anakmu kerana sesungguhnya syaitan berkeliaran ketika itu dan apabila telah berlalu suatu ketika malam maka tahanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu rumahmu serta sebutlah nama Allah, padamkanlah lampu-lampu serta sebutkan nama Allah, ikatkan minumanmu serta sebutkan nama Allah dan tutuplah sisa-sisa makananmu serta sebutkan nama Allah (ketika menutupnya)”.
(Maksudnya syaitan-syaitan tidur di waktu siang dalam cahaya dan sinar sehingga menjelang petang merupakan saat mereka berkeliaran mencari rezeki baik lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau dewasa.)


Kejadian makhluk mengikut apa yang difahamkan bahawa :

a. Asalnya kejadian manusia itu ialah campuran :

i. Jisim Kathif iaitu tanah dan air.
ii. Jisim Syafaf iaitu murni – api dan angin.
iii. Nurani iaitu roh, akal, nafsu dan hati yang dinamakan “Latifatur-
Rabbaniah”. Sesuai dengan manusia sebaik-baik kejadian dan ciptaan Allah
dan khalifah Allah.

b. Manakala kejadian Jin pula :

i. Jisim Syafaf murni iaitu api dan angin.
ii. Nurani-iaitu roh, akal, nafsu dan hati yang sesuai dan sepadan dengan
kejadian jin.

c. Binatang : i. Jisim Kathif
ii. Jisim Syafaf

d. Batu-batu dan tumbuhan : Jisim Kathif semata-mata.

e. Malaikat : Nurani semata-mata.
Kata setengah Ulama : ‘Azazil itu bukanlah moyang jin, sebenarnya satu jin yang paling abid dikalangan jin yang diangkat menjadi ketua ahli-ahli abid kepada jin dan malaikat. Dia menjadi angkuh dan takabbur di atas keilmuan, ketaqwaan dan banyak ibadat serta asal-usul kejadiannya. Maka Allah melaknatnya menjadi kafir dengan nama Iblis.

a. Iblis apabila menyentuh peha kanan dan peha kirinya terbit 33 biji telor. Dalam setiap biji telor itu ada 33 pasang benihnya. Tiap-tiap pasang itu apabila menyentuh peha kanan dengan peha kiri terbit pula seperti dahulunya begitulah sehingga kiamat.

b. Jin pula apabila disentuh alat kelamin lelaki dengan alat kelamin perempuan terus mengandung dan beranak terus mukallaf. Begitulah berlaku sehingga kiamat.

c. Bunian atau lebih masyhur dikalangan orang-orang Melayu dipanggil “Orang Ghaib” ialah hasil campuran lelaki atau perempuan Jin dengan lelaki atau perempuan manusia maka anak daripada hasil itu dikenali dengan nama Bunian mengikut manusia dalam beberapa perkara dan mengikut jin dalam beberapa perkara pula. Bunian ini selalu datang kepada manusia dengan memberi berbagai-bagai perkara atau pertolongan antaranya :

1. Keris-keris.
2. Batu-batu yang dikatakan berhikmat.
3. Jenis-jenis ubat-ubatan.
4. Juga mengajar cara-cara berubat samada melalui bomoh, pawang atau bidan.

d. Jin merasuk manusia melalui berbagai-bagai rupa dan cara dan manusia menggunakan khidmat jin untuk membuat khianat kepada sesama manusia pun melalui berbagai-bagai rupa dan cara juga.

e. Seperti juga manusia biasa yang berada dalam tingkat-tingkat Iman, Ilmu dan amalan yang berasaskan kepada Awam, Khawas, Khawasil-khawas, maka jin juga berada dalam gulungan tersebut :

1. Jin Islam yang Awam.
2. Jin Islam yang Khawas.
3. Jin Islam yang Khawasil-khawas.


f. Gulungan jin kafir kebanyakannya beragama Yahudi, Kristian, Komunis dan sedikit daripada mereka beragama Buddha, Majusi serta tidak beragama.

g. Gulungan Jin yang kafir dan jin Islam yang awam segera datang memberi pertolongan kepada manusia samada dalam mimpi atau di dalam jaga. Lazimnya pertolongan itu yang membawa kepada rosak aqidah.

h. Manusia yang bersahabat dengan jin akan berperangai seperti sahabat-sahabat jin yang bertaulan dengannya samada kafir, Islam yang awam, khawas atau khawasil-khawas.

i. Di dunia semua jin boleh melihat manusia manakala manusia yang khawas atau khawasil-khawas sahaja boleh melihat jin selain para Nabi dan Rasul. Sementara di akhirat pula semua manusia mukmin ahli syurga boleh melihat jin manakala jin yang khawas atau khawasil-khawas sahaja yang boleh melihat manusia.

j. Jin Islam yang awam atau jin kafir suka merasuk manusia yang awam dengan berbagai-bagai cara kerana pada pandangan mereka manusia-manusia yang awam itu bukanlah manusia sebenarnya sebaliknya adalah rupa seekor binatang. Manusia yang khawas dan khawasil-khawas, jin tidak dapat merasuk mereka tetapi mereka itu datang pula untuk bersahabat.

k. Manusia yang selamat dari gangguan jin, iblis atau syaitan ialah manusia yang setiap waktu dan masa berada dalam Tauhid Allah melalui lidah, anggota dan hati, iaitu berada dalam aqidah, syariat dan akhlak Rasulullah.

Jalan paling dekat untuk berada dalam tauhid Allah itu hendaklah kita jadikan diri kita beserta mereka-mereka yang setiap waktu masa dan ketika berada dalam Tauhid Allah iaitu Nabi Muhammad s.a.w., sekelian Nabi-nabi dan Rasul a.s., sahabat-sahabat agung Rasulullah, ahli keluarga Rasulullah, para-para kekasih Allah samada yang masih hidup atau yang sudah mati, nescaya akan menyampaikan diri kita zahir dan batin berada dalam tauhid Allah di semua tempat waktu dan masa melalui anggota, lidah dan hati seumpama mereka, yakni selamat daripada gangguan-gangguan jin-jin Islam atau kafir, iblis, syaitan atau seumpamanya.


l. Kata ulama :

“Kun Ma’allah fain lam takun ma’allah, fakun ma’a man ma’allah fainnahu yu shiluka ilallah”

Maksudnya : “Hendaklah jadikan diri kamu serta Allah maka jika kamu tidak boleh jadikan diri kamu serta Allah hendaklah jadikan diri kamu serta mereka yang serta Allah, maka sesungguhnya yang demikian itu akan menyampaikan diri kamu kepada Allah”

m. Diri manusia mukmin yang menjadi kekasih Allah itu menjadi “Kalbu Alam” atau “Jantung “Alam” atau “Pusat Alam” yang dikurnia Allah daya atau kuasa graviti mengikut darjah ketinggian Iman, ilmu dan amalannya disisi Allah. Diri-diri yang lain itu hanyalah di bawah atau di dalam kuasa atau graviti mereka.

* Kata Syeikh Abdul Wahhab Asy-Sya’rani di dalam kitabnya Yawaqitu wal Jawahir, bahawa bersahabat dan bersekedudukan dengan jin itu sangat keji. Katanya, “Barangsiapa memilih dan melebihkan sekedudukan dengan jin daripada sekedudukan dengan ulama, maka orang itu sangat jahil. Kerana yang lebih ghalib atas jin itu adalah perbuatannya dan perkataannya berlebih-lebihan dan dusta jua seperti kelakuan manusia yang fasik. Maka orang yang berakal lari ia daripada bersahabat dan bersekedudukan dengan dia, seperti larinya daripada bersahabat dan sekedudukan dengan manusia yang fasik.”

Katanya lagi : “Tiada sekali-kali aku lihat akan seseorang yang sekedudukan dengan jin itu beroleh kebajikan kerana asal kejadiannya itu api dan api itu sangat banyak geraknya itu datanglah berlebih-lebihan perbuatan dan perkataan orang itu.”

Katanya lagi : “Bahawa jin itu terlebih keras fitnahnya atas yang sekedudukan dengan dia daripada manusia.”

Berkata Syeikh Muhyuddin Arabi di dalam kitabnya Futuhat. “Adalah orang yang sekedudukan (bersahabat) dengan jin itu tiada beroleh ilmu akan Allah. Kerana jin itu sangat jahil akan Allah dan akan sifat-Nya.” Dan terkadang menyangka oleh orang yang sekedudukan dengan dia itu bahawa segala perkara yang dikhabarkan oleh jin itu daripada barang yang berlaku di dalam alam itu adalah “KARAMAH” daripada Allah Ta’ala baginya.

Maka sangkaannya itu adalah batil dan hanya adalah yang kesudahan pemberian jin kepada manusia itu, bahawa diberitahu akan segala khasiat tumbuh-tumbuhan dan khasiat batu dan khasiat segala isim dan huruf, maka iaitu dibilangkan daripada Ilmu Kimia jua, iaitu ilmu yang dicela oleh syarak kerana meninggal atau membelakangkan ilmu fardhu ain yang dituntut oleh syarak mempelajari serta beramal dengannya.

Katanya lagi : “Sesetengah yang telah terjawab bahawasanya banyak orang sekedudukan dengan jin itu jadilah takabbur atas segala manusia itu dan barangsiapa takabbur dimurkai Allah Ta’ala akan dia dan dimasukkan ke dalam neraka seperti yang tersebut dalam beberapa ayat Quran dan Hadis Nabi s.a.w

03 Jun 2010

MADRASAH ABJAD

ABJAD satu nama yang diberi kepada madrasah bimbingan dan latihan menyatu fahaman dan amalan yang terbit dari ikrar DUA KALIMAH SYAHADAH. MEWARISI PUSAKA KHALIFAH WALI AGAMA ISLAM..menjadi fardu kepada manusia mukallaf melaksana kerjabuat dibangsa kepada agama Islam ,dimulai dengan dua kalimah syahadah mengikut kawa'id syar'iyah yang tidak terhenti pada satu susunan dan langkahan beristiqamah. ikut ALIRAN FAHAMAN AHLI SUNNAH WALJAMAAH dan berdaftar di malaysia.

ASAS
Menyembah, mengabdikan diri,berlindung dan minta tolong kepada Allah bagi melengkapi segala keperluan dunia dan akhirat.

SERUAN
Menyampai seruan dari beberapa seruan Agama Islam yang sampai kepada Hakikat tauhid serta sah iktiqadnya dan muafakat pada zahir syariatul muhammadiyah dan muafakat pada batin tariqatul Ahmadiyah tunai amanah addin milik memerintah segala isi kandungan langit dan bumi dengan sempurna atas kurnia Allah.

TEGUH CITA CITA
Manusia sebagai khalifah Allah
Dengan teguh cita cita menerima amanah addin tertegak pada diri:

1. Beriman dan beradap mukmin.
2. Sejahtera pada pembentukan diri,keluarga,masyarakat dan tanah air.
3. Melazim ehsan disemua tempat dan masa.
4. Menjadi umat yang di terima di dunia dan akhirat.
5. Mati dengan husnul khatimah.

MELAZIM
Melengkapi keperluan kehidupan manusia dunia dan akhirat yang dibangsakan agama Islam, hendaklah melazimi:

1. Adap atau istiadat mula sesuatu.
2. Mengambil langkah sunnah atau langkah hulubalang menang mutlak.
3. Membaca Al Quran, solat sunat, puasa sunat,atau mana2 wirid atau zikir yang telah disusun oleh
ulama muktakbar yang ahli pada babnya sebagai zikir taqarub menjadi tetamu kepada yang wajib.
4. Membaca fatihah hadiah sebagai tabarruk.
5. Menghadiri diri pada mana2 majlis ilmu agama Islam,mendengar,belajar,mengajar,murajaah,mutalaah,
muzakarah dengan mereka yang ahli pada babnya sekiranya ada masaalah dihadapi atau dimuskili..

MENOLAK
Berusaha menolak sesuatu yang tiada asal pada agama Islam:

1. Segala ajaran mempunyai petua atau kaedah disertai sumpah atau mubaiah yang bertujuan mencari
kekuatan atau menzahir hikmah atau mencarik adat.
2. Segala ajaran mempunyai petua atau kaedah disertai pantang larang menepati hukum syarak sama
ada harus atau haram.
3. Segala ajaran mempunyai petua atau kaedah berpegang diatas kebesaran ayat2,wirib2jampi jampian
,doa atau umpama puak2 qadariah,jabarirah,muktazilah,mujassimah,jahmiah,rifdiyyah atau umpama,
sekularisme, kapitalisme,orentalisma,sosialisme atau lain2.
4. Segala ajaran mempunyai petua atau kaedah marah ,dimarahi untuk menzahir hikmah atau mencarik
adat.
5. Segala ajaran yang tidak tahu asal usulnya, dari mana ,dimana,kemana.

PEGANGAN
Pegangan kepada prinsip hidup disetiap tempat dan masa:

1. Berpegang teguh kepada kitabullah.
2. Mengikut sunnah nabi muhammad saw.
3. Sentiasa makan makanan yang halal.
4. Menjauhi diri dari kufur dan maksiat.
5. Menahan diri daripada menyakiti orang lain.
6. Segera bertaubat.
7. Melakukan perkara yang benar semata mata.

MEMELIHARA
Menuntut darjah kemuliaan disisi Allah maka hendaklah sentiasa memelihara:

1. Rahsia diantaranya dan diantara Allah.
2. Barang yang diantaranya dan diantara suruhan Allah.
3. Menanggung kesakitan diantaranya dan diantara segala makhluk Allah.
4. Meraikan bersalah salahan aqal barang yang diantaranya dan segala makhluk Allah.

PENGORBANAN
Muafakat bersatu menjual diri dan harta kepada Allah dan rasul serta menerima SEJARAH PEGANG AMAL DUA LARIAN SERENTAK segera menuju ketempat TUNAI AMANAH ADDIN. Bermujahadah dengan keadaan setempat, mengawal,menjaga,mengurus dengan baik mengikut acuan setiap kehendak naluri manusia menyempurna agenda kehidupan harian menjana dengan adil dan saksama mengikut aliran fahaman ahli sunnah waljamaah nescaya dapat menyelesai segala masaalah dan memati segala hujjah menyempurna menurut kaedah memelihara AGAMA ISLAM,DIRI, KETURUNAN,HARTABENDA DAN TANAHAIR. untuk menjalani kehidupan bahagia disemua tempat dan masa selagi tidak berlaku qiamat.

HARAPAN
Dengan meletak harapan besar mencapai kehendak yang sempurna untuk:

1. Melahir pemerintah yang adil.
2. Melahir pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Allah.
3. Melahir orang yang hatinya sentiasa terikat dengan rumah Allah.
4. Melahir dua orang yang berkasih kerana Allah dimana kedua duanya berkumpul dan berpisah untuk
mendapat keredhoan Allah.
5. Melahirkan orang yang dipujuk permpuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu(berzina) dengannya
melainkan dia menolak dengan berkata" AKU TAKUT AKAN ALLAH"
6. Melahir orang yang bersedekah secara sembunyi atau terang sehingga tangan kirinya tidak
mengetahui apa2 yang diberikan oleh tangan kanannya.
7. Melahirkan orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada didalam ingatanya
perkara yang lain lalu menitis air mata nya kerana mengingati sifat jalal dan sifat jamal Allah.

MATLAMAT
Mengumpul seberapa ramai umat manusia mengambil ISLAM SEBAGAI ADDIN..Dengan membesar segala hammah menhadap segala inayah, menyugguh -nyungguh usaha menjadi segala DAERAH DAN WILAYAH perbendaharaan ilmu,perladungan kepandaian ,membuka segala mata kepada memandang CEMERLANG , GEMILANG, TERBILANG, HANDALAN Kelihatan kemegahan bangsa melayu ISLAM ..diantara sekelian alam dan tertinggi martabatnya diantara bani adam bertambah ulama mereka itu diatas segala ulama bertambah nyata agama Islam diatas segala agama.... BAGI MENHADAPI DUNIA PENUH PANCAROBA, BERGOLAK DAN HURUHARA.

ABJAD
TELAH mengambil hak bagi hak nabi muhammad saw dengan persediaan yang ada melengkapkan pertahanan diri dengan latihan serentak rohani dan jasmani menuju ketinggian PUNVAK MENANG MUTLAK.

MUZAKAROH
Selepas peristiwa 13 mei 1969 beberapa tokoh ulama tempatan yang dikira ahli pada babnya mengadakan muzakaroh khas untuk mengatasi masaalah perkauman dan kegawatan dalam tumpuan umat melayu Islam.

KESIMPULAN
1. Bangsa hendaklah menerima agama Islam, maka jadilah bangsa itu bangsa beragama.
2. Tempat letak agama pada diri seseorang itu ialah dilidah ,angota dan hatinya.
3. Seseorang yang telah menerima agama Islam dengan penuh yakin dan wajib fardhu ain menjaga agama yang ada pada dirinya pada bila2 masa dan dimana2
4.Agama Islam akan keluar pada diri seseorang itu setelah menerimanya atas nama murtad ,munafiq, zalim,dan fasiq.
5.Ilmu dan amalan seseorang itu akan menjadi baja yang menyuburkan agama Islam yang ada pada dirinya selama mana ilmu dan amalan itu berada diatas dasar agama dan diambil serta dipelajari dari mereka yang ahli pada babnya.
6. Sebaliknya ilmu dan amalan seseorang itu akan menjadi racun yang membunuh agama yang ada pada dirinya sekiranya ilmu dan amalan itu tersasar daripada agama atau diambil serta dipelajari pula daripada orang kafir , murtad, munafiq,atau orang yang telah rosak aqidah,syariat,akhlak,jihadubinafsi,dan jihadubilmal.
7.Orang2 kafir mudah dikenali peribadinya dengan jelas seperti sami2,buddha,hindu,padri,rahib,danlain2 seumpamanya, tetapi orang murtad,munafiqp payah untuk dikenali. cuma nabi muhammad saw ada memberi tahu tanda2nya iaitu:

1.Apabila bercakap suka berdusta
2.Apabila berjanji suka memungkiri
3.Apabila di amanah sesuatu suka mengkhianati.
4.Apabila berbalah atas kebenaran tidak mahu mengalah ,suka menegak benang yang basah.

Sekiranya berhimpun keempat empat atau salah satu tanda2 diatas lahir pada diri seseorang yang mengaku beragama Islam , itulah dia seorang munafiq yang nyata. jauhilah kamu daripadanya, sesungguhnya orang munafiq itu ditempatkan didasar neraka yang paling bawah.
Related Posts with Thumbnails