23 September 2010

29. KEKASIH ALLAH

oleh Geng Abjad Malaysia
http://www.facebook.com/note.php?note_id=415972686822#!/note.php?note_id=409535231822

Sungguh indah dan nyaman perasaan apabila mendapat kasih sayang daripada Tuhan yang sentiasa menyediakan segala keperluan kita, meluaskan keampunan dan rahmat-Nya kepada kita. Kemuncak daripada perjalanan kehambaan ini adalah apabila dijemput untuk menziarahi Allah di syurga kelak. Digambarkan oleh 'ulama; apabila mendapat jemputan tersebut, hati terasa begitu berdebar bagaikan hendak tercabut jantung.

Kita bersyukur. Bersyukur kepada Allah. Setiap hari dikurniakan kepada kita dengan segala keperluan.

Mustahil bagi Allah, untuk membiarkan hamba-Nya yang beriman tanpa ada perhatian yang sewajarnya.

Benarlah, Allah itu bersifat الرؤوف (Ar-Ro uf) Yang Melimpahkan Rahmat / Amat Belas Kasihan terhadap makhluk-Nya.

Apa yang dapat difahami daripada nasihat Imam Al-Ghazali rhohimahullah ta'ala:

Apabila bangun tidur, jika boleh pada setiap hari, tanya kepada diri: "Kenapa ALLAH hidupkan aku pada hari ini?"

Jawapan yang dicadangkan Imam Al-Ghazali: Kerana dosaku banyak. ALLAH izinkan aku untuk bertaubat.
Ya, sungguh menusuk ke dalam hati nasihat Imam Ghazali kepada kita. Hati tersentuh, mengenangkan pintu taubat dan kasih sayang ALLAH yang sentiasa terbuka kepada kita selaku hamba-Nya.

Cuma kita sendiri, sedar atau tidak. Kadang-kadang terlupa, kadang-kadang ingat semula.

Insya ALLAH, selepas ini kita berusaha untuk lebih menghargai segala kesempatan yang disediakan-Nya.

Mesti rebut. Peluang ini disediakan oleh Raja kepada segala raja. Raja yang milik-Nya segala apa yang ada di bumi dan di langit. Pastinya peluang ini adalah terbaik dibandingkan peluang yang ditawarkan makhluk yang lain.

Golongan yang dikasihi Tuhan
Manusia yang taat kepada perintah-Nya akan dikasihi oleh Allah s.w.t dan di antara tanda-tanda orang yang dicintai Allah s.w.t ialah “

1. Orang beriman dan bertakwa kepada Allah s.w.t : Sebagaimana maksud sebuah hadis : “Tiga perkara yang menyebabkan seseorang itu mendapat kemanisan iman, iaitu kasih kepada Allah dan Rasul melebihi dari kasihnya kepada orang lain, dan mengasihani sahabatnya semata-mata kerana Allah, dan membenci untuk kembali kepada kekufuran selepas diselamatkan Allah daripadanya, sebagaimana ia membenci dirinya dicampakkan ke dalam neraka.” – Bukhari & Muslim

2. Mereka yang memperbanyakkan amalan sunat setelah sempurnakan amalan fardu seperti solat sunat dan membaca Al-Quran.

3. Golongan yang banyak berzikir.

4. Mereka yang beristiqomah di dalam mengerjakan ibadat : seperti maksud sebuah hadis Rasulullah s.a.w : “Katakanlah saya beriman kepada Allah kemudian beristiqomahlah” – Muslim

5. Orang-orang yang sabar di dalam menghadapi ujian dan dugaan hidup. Sebagaimana maksud firman Allah s.w.t : “Sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (terhadap musuh), kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa serta buah-buahan (hasil tanaman), sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” – Al-Baqarah 155

6. Orang-orang yang melaksanakan amal makruf dan nahi mungkar. Maksud firman Allah s.w.t : “Kami (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk umat manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” – Ali Imran 110

7. Orang-orang yang memperbanyakkan sedekah dan kebajikan, sebagaimana maksud sepotong hadis : “Apakah amalan yang terbaik di dalam Islam? Baginda menjawab : ” Berilah makan, sebarkanlah salam kepada orang yang kamu kenali dan kepada orang yang tidak kamu kenali.“

8. Orang yang belajar atau mendalami ilmu, sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebajikan, akan diberikan kefahaman di dalam agama.” – Muslim

9. Orang yang mengharapkan keredaan Allah s.w.t seperti firman-Nya yang bermaksud : “Sesiapa yang percaya dan berharap kepada pertemua dengan tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amalan soleh dan jangannlah dia mempersekutukan di dalam beribadat kepada tuhan dengan sesiapa pun.” – Al-Kahfi 110

Dimuatkan satu hadits yang membicarakan orang yang dikasihi ALLAH. Mudah-mudahan kita diberikan kefahaman tentangnya dan dimasukkan dalam golongan ini.

Ertinya:
Daripada Anas bin Malik r.a. , Nabi s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya Allah mempunyai 'ahli' daripada kalangan manusia. Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah! Siapakah mereka itu? Baginda bersabda: "Merekalah ahli al-Quran iaitu 'ahli' Allah dan golongan pilihan-Nya."

(Riwayat Ibnu Majah)

Keterangan hadits daripada Syarah Sunan Ibnu Majah:

"Ahli al-Quran" ialah golongan yang menghafal al-Quran, banyak membaca al-Quran dan beramal dengannya.
"Ahli ALLAH" ialah para wali ALLAH dan golongan yang mendapat pilihan yang istimewa daripada ALLAH.

Salah satu petunjuk bagi seseorang itu dikasihi ALLAH adalah dengan usahanya untuk mendampingi Al-Quran serta beramal dengannya.

Apa kata kita cuba mulakan usaha ini, dengan kuantiti yang kecil, sesuai dengan kemampuan kita? Lama-kelamaan bertambah dengan kesuaian yang ada.

Moga ALLAH mudahkan segala urusan kita, serta dijadikan amalan itu pula amalan yang diterima dan terlaksana dengan rasa keenakan serta berterusan.

Antara formula untuk mendapat kasih sayang dan perhatian daripada ALLAH Yang Maha Penyayang adalah dengan memperbanyak 'amalan sunat dan menjauhi perkara yang tidak disukai ALLAH s.w.t. (perkara makruh).

Apa yang jelas, tahap ini sudah berada di atas tahap biasa, iaitu melakukan perkara yang wajib dan meninggalkan perkara yang haram.

Perkara ini bertepatan dengan apa yang kita terima daripada Tuan Guru Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam dalam kuliah beliau yang dapat difahami seperti berikut:

Orang yang lebih tinggi tahap 'arif billahnya, 'amalan sunat sudah menjadi 'amalan wajibnya, manakala 'amalan wajibnya sudah terbiasa sangat dilakukan.

Daripada Dr. Shafi'e Al-Muqri dalam salah satu kursus beliau dapat difahami seperti berikut:

Dengan melaksanakan perkara sunat dan menjauhi perkara makruh, ALLAH akan menambahkan kasih sayang-Nya kepada kita, memudahkan usaha untuk mengingat ayat-ayat al-Quran.

Bersama-samalah kita berusaha meningkatkan kualiti dan kesucian pengabdian diri kita kepada ALLAH s.w.t.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami.
Allah s.w.t telah menciptakan kita semua bertujuan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Allah s.w.t telah mengutuskan para rasul-Nya untuk memberikan petunjuk dan pengajaran cara untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t melalui kitab-kitab samawi yang diturunkan kepada mereka. Manusia yang mempunyai akal dan menggunakan sebaik-baiknya akal mereka akan mengikuti perintah rasul mereka iaitu mengerjakan suruhan Allah s.w.t manakala yang tidak menggunakan akal akan menderhaka kepada Allah s.w.t.

Doa kita bersama:

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Ya ALLAH, jadikanlah kami, ibu bapa dan keluarga kami serta umat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain hamba-Mu yang istiqamah dan ikhlas mentaati-Mu. Jadikanlah akhir hayat kami dalam husnul khotimah dan melafazkan kalimah tauhid.

Wallahu ’alam

0 ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails